TRONOH – Bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Mahathir Mohamad mengimpikan harapan untuk melihat seluruh warga dunia menganjurkan demonstrasi demi membebaskan Palestin. Beliau berkata demikian kepada lebih 700 penonton yang hadir dalam siaran rakaman Forum Perdana Ehwal Islam versi Bahasa Inggeris dekat sini. Forum bertajuk “Palestine – A Global Issue” itu dianjurkan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Kita bukan sahaja berdepan dengan Israel atau Zionis, malah terpaksa menghadapi kuasa terbesar dunia ketika ini iaitu Amerika Syarikat. Demi rakyat Palestin, kita kena kumpulkan rakyat di seluruh dunia dan berdemonstrasi terus-menerus sehingga Amerika yang menjadi sekutu kuat Israel tersungkur jatuh. Tetapi malangnya harapan itu agak mustahil untuk berlaku,” ulas Mahathir yang dijemput sebagai salah seorang ahli panel dalam forum tersebut.



