Assalamualaikum wrt bth.
Dengan Nama Allah Yang Maha
Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad SAW yang telah menunjukkan jalan kebenaran dan cahaya Islam.
Aqsa Syarif mengucapkan tahniah
kepada seluruh Islam kerana kita sedang bertamu di bulan Ramadhan yang agung.
Bulan yang menjanjikan pelbagai ganjaran dan keistimewaan. Bulan di mana
berlaku pelbagai peristiwa besar. Bulan yang menyatukan umat Islam ini tanpa
mengira batas sempadan geografi, budaya dan bahasa. Bahkan Ramadhan menyatukan
umat Islam untuk bersama melaksanakan syariat Allah iaitu menunaikan ibadah
puasa dan berlumba-lumba untuk mencapai darjat taqwa yang disediakan bagi
orang-orang yang ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah semata-mata.
Sebagaimana Ramadhan
menyatukan umat Islam, maka begitu jugalah Tanah Suci Baitul Maqdis adalah
simbol penyatuan umat Islam diseantero dunia.
Meskipun umat Islam berkumpul di
Tanah Haram di Mekah untuk menunaikan haji saban tahun, namun tanah suci Baitul
Maqdis yang berdiri padanya Masjid al-Aqsa membentuk ikatan yang mempunyai
keistimewaannya yang tersendiri. Jika umat Islam disatukan di Mekah kerana
manasik haji. Umat Islam di satukan oleh Masjid al-Aqsa oleh jihad untuk
membebaskannya dari belenggu penjajahan. Masjid al-Aqsa menyatukan umat Islam
pada minda dan perasaan meskipun mereka tidak pernah berkumpul secara fizikal
sebagai mereka bolih sahaja melakukannya di musim haji di Mekah atau pada
bila-bila masa sepanjang tahun ketika menunaikan umrah.
Begitulah umat Islam di
seluruh dunia dirangkul oleh ikatan ‘syuur’ (perasaan) mendalam yang
diterjemahkan dalam bentuk cinta dan rindu kepada kekaseh yang hanya bolih
digapai dari jauh. Sedang hati orang-orang yang beriman terpaut hatinya pada
masjid al-Aqsa dengan satu tekad dan iltizam untuk membebaskannya. Demikianlah
setiap muslim memegang kemas akan pesan Rasulullah SAW kepada para sahabat “Ziarah
dan solatlah di sana”. Halangan untuk
berziarah dan solat di sana tidak pernah melunturkan cinta kepada al-Aqsa
bahkan ia menggerakkan umat ini serentak untuk melaksanakan pesan yang
berikutnya dari Rasulullah SAW “jika kamu terhalang, kirimkan minyak untuk
lampu-lampunya”.
Didorong oleh rasa ‘hubb’
(cinta abadi terhadap Masjid al-aqsa) Aqsa Syarif telah mengerah segala
kekuatan dan sokongan yang ada untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza untuk
sekian kalinya. Aqsa Syarif bersempena dengan bulan Ramadhan ini akan mengirim
sebuah misi besar yang akan dipikul oleh 12 orang pejuang-pejuang Aqsa Syarif.
Dengan izin dan perancangan dari Allah SWT mereka insyaAllah akan memasuki Gaza
yang berkah itu pada 20 Ogos (bertepatan 20 Ramadhan) dan akan berada di sana
selama 8 hari. Mereka akan bersama-sama rakyat palestin pada sepertiga yang
terakhir dari bulan Ramadhan, sepuluh malam terakhir yang terkandung padanya
malam Lailatul Qadar.
Misi yang dinamakan misi
Aqsa2Gaza2 ini adalah siri kedua misi memasuki Gaza yang melibatkan pejuang-pejuang
Aqsa Syarif. Prof Madya Dr Zin kandar yang merupakan ketua misi VP5 @ Aqsa2Gaza
yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober 2010, kini memikul kembali amanah
yang berat ini untuk memasuki Gaza dalam misi yang diterajui sepenuhnya oleh
Aqsa Syarif. Misi kami sekali ini juga istimewa kerana turut disertai oleh tiga
orang anggota misi wanita. Mereka membawa amanah yang cukup besar di bawah
inisiatif Rose2Rose (R2R) di mana wanita Palestin akan dihubungkan dengan
wanita Malaysia bagi membantu menyediakan pusat-pusat komuniti untuk memperkasa
wanita Palestin. Misi kali ini juga akan menziarahi Kelaurga miskin yang ditaja
oleh Aqsa Syarif melalui kerjasama dengan Wafrah. Di samping itu misi ini akan
membawa 1000 buah beg sekolah yang lengkap dengan buku-buku dan alat-alat tulis
yang akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak sekolah di Palestin.
Sebesar harapan Aqsa Syarif
untuk membantu rakyat Palestin dalam kerangka menghayati pesan Rasulullah SAW ‘Kirimkan
minyak untuk lampu-lampu masjid’ begitu jugalah besarnya harapan kepada
sokongan umat Islam. Aqsa Syarif berdoa dengan baroqah bulan Ramadhan yang mana
infaq (mengeluarkan harta untuk tujuan fisabilillah) adalah satu amalan utama
di samping amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat,
untuk membawa tidak kurang dari RM1 juta untuk melaksanakan semua projek-projek
yang digariskan di atas.
Sempena bulan Ramadhan
al-mubarak ini, Aqsa Syarif akan bersama-sama umat Islam mencontohi Rasulullah
SAW dalam hal ketangkasan bersedeqah. Ibnu Abbas RA, berkata:
Rasulullah SAW adalah orang
yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika
Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu
tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril
menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga
lebih banyak daripada tiupan angin. (Hadis Bukhari dan Muslim).
Marilah kita semua mengambil
peluang ini untuk bersedeqah di bulan Ramadhan untuk membela dan mempertahankan
tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Cuma ada satu jalan sahaja buat masa ini untuk
kita berperanan dengan berkesan untuk memikul tanggungjawab mempertahankan
Masjid al-Aqsa iaitu dengan kita membantu saudara-saudara kita di Palestin
untuk melakukan tanggungjawab ini bagi pihak seluruh umat Islam. Oleh kerana
mempertahankan Masjid al-Aqsa ini adalah kewajipan yang akan ditanyakan oleh
Allah ke atas setiap muslim, maka membantu umat Islam Paletsin tidak syak lagi
menjadi kewajipan setiap kita yang bergelar muslim. Ayuh bersegeralah infaq untuk
Palestin dan rebutlah pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Ingatlah akan
pesan Nabi SAW.
Sabda Rasulullah yang
bermaksud, Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.
(Hadis Bukhari).
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd
Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
1 Ramadhan 1432H/1 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment